Wednesday 5 October 2011

Apakah Maksud Pemuliharaan Ex situ?




Pemuliharaan ex situ merupakan strategi pemuliharaan spesies hidupan liar di  luar habitat semula jadi mereka. Spesies yang dikategorikan sebagai terancam kepupusan atau akan mengalami kepupusan akan dilindungi dan dibiakbaka dalam kurungan/habitat buatan manusia sebelum dilepaskan ke habitat semula  jadi mereka apabila  saiz  populasi spesies tersebut telah pulih dan  mempunyai  habitat yang sesuai. 

Pemuliharaan  ex situ  hidupan liar  fauna  dijalankan  di zoo, aquarium dan program pembiakaan kurungan manakala pemuliharaan flora dijalankan di taman botani, arboreta dan bank benih. Pemuliharaan jenis ini mempunyai beberapa tujuan dan kepentingan. Antaranya ialah untuk memelihara sumber germplasma yang semakin terancam, menyediakan bahan untuk penyelidikan biologi secara berterusan, simpanan germplasma untuk rujukan dan kegunaan di masa akan datang dan pelbagai manafaat dan faedah lagi dalam memastikan sumber biologi sentiasa mencukupi bagi meneruskan program pemeliharaan dan pemuliharaan ini.

Program pembiakbakaan kurungan hidupan liar merupakan salah satu kaedah yang dijalankan untuk memastikan spesies-spesies hidupan liar tidak pupus.  Tujuan program pembiakbakaan hidupan liar flora dan fauna diwujudkan antara lain ialah:

  • supaya impak ke atas hidupan liar di kawasan pemuliharaan in-situ dapat dikurangkan.
  • membiakkan spesies hidupan liar flora dan fauna yang dilindungi sepenuhnya ke satu tahap populasi yang sihat sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.
  • membiakkan spesies hidupan liar flora dan fauna yang dilindungi dan mempunyai nilai ekonomi di dalam kurungan.
  • membiak spesies yang mempunyai nilai rekreasi.

Program pembiakbakaan kurungan boleh dijalankan melalui beberapa kaedah seperti, permanian beradas (artificial insemination), peliharaan silang (cross fostering), pemindahan embrio (embryo transfer) dan pengeraman buatan (artificial incubation).


Terdapat beberapa organisasi yang menjalankan aktviti pemuliharaan ex situ seperti Jabatan Perhilitan dan Hidupan Liar, Jabatan Pertanian, FRIM dan organisasi-organisasi lain.  Jabatan Perhilitan dan Hidupan Liar telah mewujudkan beberapa pusat pembiakbakaan kurungan hidupan liar fauna sejak beberapa tahun yang lalu seperti Pusat Pembiakan Seladang, Pusat Pembiakan Burung Kuang, Pusat Pembiakan Rusa Sambar, Pusat Pembiakan Tapir, Pusat Pembiakan Napoh/Pelanduk dan Pusat Pembiakan di Zoo Melaka. Bagi hidupan liar flora pula, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian, FRIM dan lain-lain organisasi telah membangunkan beberapa  pusat pemuliharaan ex-situ  seperti taman botani dan arboretum.

No comments:

Post a Comment